Pages

Friday, March 18, 2011

Cerpen: Sayang Emak, Zeti

SAYANG EMAK, ZETI!

Aku asyik memerhati Zeti mengatur bongkah berwarna-warni di penjuru rumah. Zeti yang sudah berusia hampir enam tahun, masih gagal membezakan warna. Warna merah dicampurkan dengan warna hijau dalam bakul biru.

“Zeti, yang merah... masukkan dalam bakul merah tu,” kataku lembut, sambil menunjukkan warna merah.

Zeti terpinga-pinga, masih tidak faham. Aku senyum kepadanya. Dia masih menagih simpati, memberi kiub kuning kepadaku dan menghulurkan bakul merah. Aku tersenyum lagi. Jauh di sudut hati aku berasa terhiris. Zeti ketawa. Jiwaku menangis, melihat Zeti yang masih belum mahir berkata-kata.

Anak Madam Lee yang senasib dengan Zeti sudah boleh menyusun bongkah. Shery juga sudah boleh melukis, meskipun Madam Lee sendiri tidak tahu apa yang dilukisnya. Shery tidak kencing di merata tempat lagi. Sedangkan Zeti selalu melatah, masih perlu menggunakan lampin.

Mataku berair lagi. Zeti, salahkah mak lahirkan kau dulu?

“Anak puan mungkin mengalami gangguan mental... maksud saya mindanya lambat bertindak.”

Kata-kata Dr. Sindhu menikam jantungku. Aku beristighfar panjang, tanganku mengusap perut yang mula membesar. Sudah empat bulan zuriat kami. Aku diburu kebimbangan. Apa yang mesti aku buat? Apa kata Shahrani nanti?

“Doktor, kenapa jadi begini?” tanyaku sambil menyekang air mata. Aku suntik rubela, aku tak merokok, aku baru 25 tahun... tak terlalu tua atau terlalu muda untuk mengandung. Keluarga sebelah Shahrani tiada yang begini, apa lagi sebelah aku.

“Semasa kandungan puan tiga bulan, janin puan kekurangan oksigen,” ujar Dr. Sindhu dengan tenangnya.

Sepintas lalu aku digoda syaitan: GUGURKAN!! Tetapi dia anakku, tetap anakku.

“Mongolisme?” tanyaku, apabila aku mula stabil. “Kes puan tak sama dengan Mongolisme atau Sindrom Down tu. “Anak puan cuma kekurangan oksigen semasa pertumbuhan otaknya, bukan kelainan genetik,” tegas doktor yang separuh umur tu dalam bahasa Melayu yang baik.

Sejak itu aku tidak lalu makan dan minum. Tuhan, apa dosaku? Apakah dosa kami? Aku begitu lemah untuk menerima ujian-Mu. Maha Suci Allah, berilah hamba-Mu sedikit kekuatan. Janganlah apa yang dinyatakan oleh Dr. Sindhu itu menjadi kenyataan.

Kemudian Shahrani mula bertanya kenapa aku nampak murung dan kurang berselera makan sebulan dua ni. Shahrani tahu aku memang kuat makan. Dulu, semasa mengandungkan si kembar Zaid – Farhanah, aku tidak seperti sekarang, kuat berjenaka dan sentiasa gembira.

“Jangan monyok nanti ‘baby’ tak comel.”
Aku diam.
“Kenapa Zarina?”
Shahrani menghampiriku.
“Za... takut nak beranak,” kataku, memecah kesunyian malam.

Shahrani menutup siaran TV dengan ‘remote control’ di tangannya. Tayangan larut malam ditinggalkan. Dia mengalih pandangannya kepadaku.

“Tapi, ini bukannya kali pertama.” Shahrani cuba meyakinkan. “Dulu kan Za tak pernah mengadu takut atau sakit,” sambungnya lagi.

Aku meraba perut yang semakin gendut, sudah masuk enam bulan. Sudah berbahaya untuk digugurkan. Dan demi Allah aku tidak sanggup berpisah dengan anakku. Biarlah bagaimana sekalipun dia.

“Za takut kalau Za mati... nasib anak ini.” Aku menangis.
“Berterus teranglah Zarina, kenapa?”

Shahrani memang tak suka berteka-teki. Itulah sikapnya sejak di USM lagi. “Kenapa Za?” Ulang Shahrani lagi.

Shahrani memang sibuk dengan kerja-kerja sekolahnya. Sebagai guru yang belum disahkan dan baru ditugaskan di Kuching ni, bebanan dan tekanan kerjanya amat aku faham. Berbeza dengan aku yang bertugas sebagai juruanalisa sistem di Jabatan Perangkaan, pukul 4.15 petang habislah kerjaku.

Kini Shahrani kurang memberi perhatian kepadaku, berbanding ketika pertama kali aku mengandung dulu. Namun begitu dia tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai ayah Zaid dan Hanah, juga sebagai suami Puan Zarina. Itu aku tahu, itu aku pasti.

Aku masih diam. Shahrani merenungku dan inginkan kepastian.
“Abang... mungkin ada masalah dengan bayi kita ni. Fungsi otaknya lambat. Mungkin cacat.”
“Zarina!” cuma itu yang terpacul di bibir Shahrani. Dalam remang-remang lampu tidur, aku nampak betapa pucatnya dia.

Sunyi. Cuma detik-detik jam yang kedengaran. Sesekali Farhanah yang lasak, menendang perut adik kembarnya. Aku membetulkan letak selimut mereka semula.

Dulu, tiga tahun yang lalu, apabila aku mencanangkan tentang kehadiran anak pertama kami... kembar, pucat Shahrani berbeza sekali. Shahrani cuma risaukan kesihatan aku. Dia bimbangkan pengajian kami. Maklumlah masing-masing baru tahun dua di universiti. Dia meragui bagaimana kami boleh mengurus dua bayi sekali gus. Bagaimanapun kerisauannya tidak lama. Apabila nampak saja si kembar kami yang comel, letihnya tidak terasa. Namun yang lebih menyeronokkan, kami ‘graduate’ seperti orang lain juga. Dan Shahrani lebih beruntung, kerana mendapat ‘second class upper’ manakala aku sendiri terpaksa berpuas hati dengan ‘second class lower’ dalam bidang komputer.

“Zarina, ‘dia’ anak kita, lambang kasih kita ‘dia’ berhak melihat dunia. ‘Dia’ berhak mendapat kasih sayang daripada kita seperti abang dan kakaknya. Lagipun itu kan sekadar ramalan doktor, berdoalah,” kata Shahrani setelah lama membisu, dengan susunan ayat seperti dalam drama Melayu.
Maklumlah, orang guru bahasa! Mungkinkah kata-katanya itu sekadar untuk menenangkan aku atau benar-benar ikhlas? Ah, aku masih gagal untuk menyelami hati Shahrani.

Beberapa hari kemudian aku nampak dia sudah mula berubah. Dia tidak seriang dulu lagi. Dia tidak lagi mengajak Zaid dan Farhanah yang baru berusia dua tahun tu memekap telinga ke perut ku dan mendengar gerak ‘baby’.

Dulu, walaupun dengan duit biasiswa, Shahrani mampu berjimat untuk membeli pakaian dan peralatan anaknya. Sekarang, walaupun sudah bergaji, dia langsung tidak ambil pusing untuk membeli belah. Aku menunggu-nunggu bila Shahrani akan mengajak aku ‘shopping’ tetapi sampai ke bulan sembilan, Shahrani masih begitu. Mana Shahrani yang dulu? Sepatutnya, dalam saat begini dia perlu memberi aku kekuatan bukannya, tekaan.

Hari itu, selepas berjemaah subuh, aku akan mengajak Shahrani ke Ngiu Kee,
“Za gunalah lampin Zaid dan Farhanah, kan masih elok, masih banyak, buat apa membazir.”
Bila pula Shahrani menjadi seorang ayah yang pandai berjimat cermat untuk anak-anaknya?

Shahrani meneruskan tidurnya. Aku menelefon Sheila, mengajaknya berbelanja.

* * * * *

Dua hari selepas itu, aku melahirkan Zeti. Aku berhenti kerja kemudiannya, semata-mata kerana anak-anakku dan terutamanya untuk Zeti. Aku tidak sanggup melihat Zeti dipersendakan sepanjang hayatnya. Untuk meletakkannya di pusat jagaan pun aku tak sanggup. Aku sangat prejudis. Shahrani yang membentuk sikapku begitu. Pada pandanganku, kalau ayah sendiri pun kurang mengendahkannya, inikan pula pekerja di pusat jagaan anak-anak.

Dr. Sindhu meyakinkan aku, Zeti boleh dipulihkan jika mendapat pendidikan sempurna di peringkat tiga tahun pertamanya. Kata-katanya terbukti apabila akhirnya Zeti boleh berjalan ketika berusia lebih dua tahun. Aku sungguh bersyukur, walaupun dalam hatiku terasa ‘tamak’ mahukan lebih dari itu.

Tapi Shahrani masih begitu. Aku tidak menyalahkan Shahrani dalam hal ini. Bukan dia tidak mengendahkan Zeti langsung. Dia telah menjalankan tanggung jawabnya sebagai ayah. Dia menyematkan namanya bersama nama Zeti; Zeti binti Shahrani. Dia yang mengiqamat Zeti. Dia menanam uri anaknya, juga menyalin lampin Zeti di waktu malam kalau aku pura-pura tak sedar. Dan aku pernah melihat sesekali, walaupun amat jarang, dia mencuri cium Zeti serta mengusap ubun-ubun anaknya. Meskipun kasihnya kepada Zeti mungkin tidak semurni kasihnya kepada Zaid dan Farhanah, namun aku sudah amat bersyukur. Lagipun layakkah aku menilai hati budi suamiku. Apa yang tersembunyi di lubuk hatinya, Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Mungkin sikap ibu mentuaku membuat dia tertekan. Sikap saudara maranya membuat dia malu memiliki anak seperti Zeti. Aku terluka setiap kali Zeti dipandang rendah, apabila pulang ke kampung Shahrani di Muar. Anak kak long dan acik yang lebih muda daripada Zeti sudah bolah mengeja, sudah boleh membilang, sudah boleh mewarna. Sedangkan Zeti untuk menyebut perkataan ‘nenek’ pun susah. Bukan aku tak ajar, bukan Shahrani tak latih. Malah berbuih mulut Zaid mengajarnya sepanjang penerbangan dari Kuching ke Johor, namun dia masih gagap. Dalam kamus hidupnya cuma ada mak, ‘nenen’ (lapar), ‘babang’ (abang), ‘baby’, ‘nak boom’ (tidur) dan ‘yayah’ (ayah).

“Mak.”
Zeti memelukku. Aku terkejut daripada peristiwa silam yang tak pernah hapus dari ingatan. Setiap kali aku cuba melupakan, selagi itulah ia menghambatku, memaksaku menerima realiti hidup. Selama hampir enam tahun ini aku menjadi guru, kawan dan ibu pada Zeti, dan selama itulah aku menyimpan segala tangisan sendirian. Aku cuba menonjolkan segala kesabaran dan menahan rasa marah serta kecewa, pada mereka yang menyakiti Zeti. Termasuk Shahrani?

Aku mencium Zeti berulang kali. Zeti sungguh comel. Matanya agak sepet berbanding mata aku maupun Shahrani yang berdarah Cina tu. Rambutnya hitam berkilat dan kulitnya putih kemerah-merahan. Namun apabila ditenung, masih ketara wajah istimewanya – seakan-akan kanak-kanak yang kena Monggolisme.

Sepintas lalu, apa yang diajar oleh Mr. Wong, pensyarah Biologiku, ketika di kelas Matrikulasi sepuluh tahun dulu; tentang penyakit bawaan genetik timbul di fikiranku. Tetapi Zeti bukannya pesakit Monggolisme atau sindrom Down tu, yang berpunca daripada konstitusi genetik seperti yang didakwa oleh saudara dan kenalan kami tu! Zeti tidak mempunyai trisomi kromosom 21 dalam badannya seperti pesakit sindrom itu. Cuma minda Zeti yang lambat bertindak.

Shahrani selalu melarang aku melebihkan Zeti. Alasannya, nanti Zeti terlalu bergantung. Shahrani mungkin betul, tapi aku tak berdaya untuk TIDAK melindungi Zeti. Zeti adalah sebahagian daripada nyawaku.

Aku melepaskan pelukan Zeti apabila hon Cikgu Siti Maria berbunyi. Zeti menerpa ke beranda. Zeti melompat-lompat riang melihat Zaid dan Farhanah keluar dari perut kereta Ford Laser biru metalik. Aku cepat-cepat membuka pintu pagar dan mengunci semula. Sejak ‘Sandy’ arnab kesayangan kami mati dilanggar lori seminggu dulu, Shahrani ‘menggubal undang-undang’. Cuma aku dan Shahrani saja boleh membuka pintu pagar. Siapa buka dia mesti menguncinya semula.

Aku membiarkan Zaid, Farhanah dan Zeti melambai Cikgu Siti Maria. Zaid mencium aku dan Zeti bertalu-talu... seperti biasa. Sementara Farhanah cuma bersalam dan mencium tanganku, lalu terus ke dapur tanpa menoleh ke arah Zeti, walaupun Zeti tolong menyimpan kasut sekolah Farhanah di rak. Farhanah sentiasa saja mencari fasal supaya Zeti dimarahi Shahrani. Mungkin dia cemburu melihat aku selalu melebihkan Zeti.

“Mak masak apa hari ni,” tanya Farhanah.
Aku mengekorinya dari belakang. Farhanah membuka tudung saji.
“Mak, Hanah malulah hari ini,”
Kenapa sayang?”

* * * * *

Aku menyenduk nasi ke pinggan Farhanah. Biasanya, anak-anak makan tengah hari tanpa Shahrani. Dia jarang balik untuk makan. Musim-musim hampir peperiksaan begini, dia selalu buat kelas tambahan. Shahrani malas untuk berasak-asak di jalan dan kemudiannya ke sekolah semula. Bagaimanapun minum petang dan makan malam bersama keluarga menjadi kemestian bagi Shahrani.

“Zaid, makan... ajak Zeti sekali,” jeritku.
Zaid dan Zeti berlari ke dapur.
“Zaid, kan mak kata... makanan ringan macam tu tak elok dimakan,” kataku, sambil mengambil bungkusan keropok berperisa tiruan dari tangan Zeti.
Hairan sungguh, kenapa pihak sekolah masih membenarkan penjualan makanan seumpama ini.
Zeti menangis.
“Nanti abang beli yang lain ye,” pujuk Zaid.
Zeti memang cepat diam apabila Zaid yang memujuknya.

Zaid membasuh tangan. Kemudian mendukung Zeti ke sinki.
“Zeti dah semakin gemuk, mak. Tak kuasa Zaid nak dukung dia lagi,” katanya.
“Bukan gemuk tapi Zaid tak kuat lagi sebab suka makan ‘junk food’. Tengok makanan yang mak bekalkan selalu tak habis,” leterku, sambil membuang baki mihun goreng ke dalam bekas sampah.

“Zaid cuma belikan untuk Zeti, kasihan dia mak duduk rumah sorang-sorang. Kalau kami pergi jalan dengan ayah... ayah selalu tak nak bawa Zeti.”
Hatiku tersentuh lagi. Kadang-kadang aku rasa nak lari bersama Zeti entah ke mana. Tapi rasa itu tinggal rasa, ia sebentar cuma. Aku tidak pernah berani menjelmakannya dalam perbuatan. Tawa, nangis Zaid dan Farhahah merantai niatku. Ketaatku pada Shahrani menghapuskan keinginan bodohku.

“Cepat makan, nanti nak pergi mengaji al-Quran pula,” perintahku.
Mataku tertumpu kepada Farhanah.
“Hanah, kenapa?”
“Apa yang Hanah nak cerita pada emak tadi?”
Aku mendekati Farhanah. Ayam goreng halia kesukaannya tidak disentuh lagi.

“Kakak merajuk mak, tadi dia kena tegur dengan ustazah,” cerita Zaid dengan mulut penuh.
Aku melarang anak-anak bercakap dengan makanan penuh di mulut, tapi tidak hari ini. Rasa ingin tahuku meluap-luap.

“Hari ini kami belajar jangan menghina orang cacat. Zaid tanyalah ustazah, kalau orang sakit seperti Zeti tu, cacat ke? Ustazah kata ya. Kakak marah Zaid mak, kerana semua kawannya tahu Zeti cacat. Kakak kata dia malu ada adik macam Zeti. Dia terus marah-marah Zaid sampai masa balik. Ustazah dapat tahu, ustazah pun tegur perangai kakak.”

Panjang betul cerita Zaid sampai termengah-mengah. Zeti pula asyik ketawa setiap kali namanya disebut. Farhanah tunduk. Kemudian lari ke biliknya.
“Zaid, lepas makan kemaskan meja. Zeti tidur, arahku.” Aku terus ke bilik Farhanah.

“Mak, boleh tak Farhanah tak pergi mengaji hari ini. Nina dan Rahani tentu tunggu nak ejek Hanah.”
Aku diam.
“Mereka kan kawan baik Hanah, tak kan mereka bersikap begitu.”
“Dulu kami semua tak kawan dengan Yati sebab bapanya tempang,” katanya ‘ikhlas’ tetapi menyakiti hatiku.
Apa yang tak kena dengan Farhanah ni, rungut hatiku.

“Hanah, siapa yang menjadikan Hanah?”
“Allah.”
“Siapa yang menjadikan adik?”
“Tentu Allah, mak.”
“Adik bukan nak sakit begitu, kalau kita hina adik, maknanya kita juga menghina Penciptanya.”

Farhanah diam. Aku harap dia mengerti. Rasanya kata-kataku tidak terlalu susah untuk difahami oleh murid darjah dua. Farhanah memeluk aku. Dia menangis dan aku tergores. Jauh di sudut hatiku aku berdoa semoga Allah membuka hati Farhahah dan Sharani untuk menerima kehadiran Zeti dengan sewajarnya.

Jam lima petang, Shahrani pulang dengan muka berseri-seri.
“Abang dapat jadi pensyarah maktab, kita akan berpindah ke Batu Rakit.”
Aku sedih. Bukan sebab aku tidak suka ke Terengganu. Memang aku mengharapkan untuk pulang ke Semenanjung setelah lama di rantau orang. Terengganu dekat saja dengan kampung aku di Kelantan. Tapi aku kasihan pada Zeti. Di sini kami sudah ada kumpulan untuk membantu ‘anak-anak istimewa’. Ada doktor pakar yang mengendalikan projek terapi itu. Zeti sudah ada ramai kawan; Shery, Andri, Flora dan Sharifah Akhtar serta Tiing Ing.

Kelas tiga kali seminggu itu telah menunjukkan perubahan pada Sheri dan Flora. Setelah hampir setahun ke situ, aku dapat rasakan Zeti juga sudah mula menunjukkan sikap positif. Aku yakin pengorbanan dan usahaku selama ini akan diberkati Allah. Kini aku mengajar tuisyen komputer dua kali seminggu semata-mata untuk membiayai kelas pemulihan itu. Aku tak mahu Shahrani ‘membazir’ wangnya untuk Zeti. Untuk bekerja semula selepas lima tahun berhenti, syarikat mana yang akan mengambilku....

“Kenapa Za?”
“Zeti,” kataku.
“Tak usah ajar lebih-lebih, tak ke mana dia.”

* * * * *

Aku terperanjat dengan kata-kata Shahrani. Sampai hati. Aku tak pernah mengharapkan Zeti jadi doktor, akauntan, ahli sains... seperti yang selalu ditanam oleh Shahrani kepada Farhanah dan Zaid. Memadailah kalau Zeti boleh membaca dan berdikari. Supaya dia tidak menyusahkan sesiapa apabila kami sudah tidak ada lagi. Dan yang paling penting, supaya dia tidak mudah diperdaya apabila besar dia nanti.

Sungguh tak kusangka, seorang bakal pensyarah yang ‘mastered’ dalam bidang psikologi berkata begitu. Aku faham, Sharani begitu ‘excited’ dapat jadi pensyarah sesudah bertahun-tahun menjadi guru biasa. Setelah penat belajar dan membuat ‘research’ untuk ijazah sarjananya, tentulah tawaran ini amat bererti baginya.

Malah aku juga bertahun-tahun menjadi guru Zeti, tapi aku tidak pernah jemu, tidak pernah mengalah dan tidak pernah merungut. Kalau semua guru hanya hendak mengajar murid yang pandai, murid yang sempurna, siapa yang akan mengajar orang seperti Zeti. Aku menarik muka masam.

Aku cepat-cepat menuang air ke dalam cawan Shahrani, aku hulurkan piring berisi lepat pisang tanpa menoleh ke arahnya. Aku masih marah. Aku mengangkat cawan Zaid dan Farhanah yang telah kosong ke singki.
“Zeti mana,” taya Shahrani, apabila melihat ‘mug’ Zeti masih penuh berisi susu. Mungkin nak mengambil hatiku.

Aku terus membawa ‘mug’ Zeti ke halaman. Zaid dan Farhanah asyik main kereta mainan. Zeti di tepi pintu pagar melonjak gembira melihat kereta merah zaid memotong kereta biru Farhanah. Fahamkan Zeti? Zeti melambaiku. Aku membalas lambaiannya sambil menunjukkan ‘mug’ gambar Mickey Mouse. Zeti menggeleng. Shahrani menghampiriku.

“’Sorry’. Za pun tahu tahu betapa jawatan ini telah lama abang tunggu-tunggukan.” Aku senyum. Marahku memang cepat reda.

“Ayah, tolong main untuk Hanah. Dah tiga kali Zaid menang,” kata Hanah sambil menyerahkan ‘remote control’ ke tangan ayahnya. Mujurlah halaman rumah kami cukup luas untuk anak-anak bermain. Mereka jarang merengek hendak ke padang permainan atau ke Pantai Damai. Cuma yang membuat aku tak selesa dengan rumah kembar dua tingkat ni – tak ada ‘privacy’.

Halamannya menghala ke jalan utama. Dan kadang-kadang lori, bas sekolah dan motosikal ‘rugged’ bergerak bebas di lorong sempit di hadapan rumah kami. Kami memang bercadang nak sewa rumah yang lain.

Shahrani menyambung permainan Hanah. Dia pun jadi macam budak-budak, terjerit-jerit seperti Hanah dan Zaid. Zeti masih menyebelahi abangnya. Aku turut memberi sokongan kepada Zaid. Zaid memang cekap. Shahrani pun mudah dikalahkannya. Setiap kali kereta Zaid sampai ke garisan penamat, Zeti melonjak gembira.

“Menang, abang menang, ayah kalah,” jerit Zeti tiba-tiba.
Fasih. Aku kaget. Zaid terpegun. Shahrani terkejut. Farhanah terpinga-pinga. Kereta biru kepunyaan Farhanah terlepas daripada kawalan Shahrani – terus menyusup melalui jaring-jaring jarang bawah pintu pagar. Zeti menolak pintu pagar dan cuba menangkap kereta mainan Kak Farhanahnya – dia cuma mengambil hati ayahnya, seperti selalu.

Zeti juga terlalu ingin menyentuh kereta mainan kakaknya. Inilah peluangnya, kerana Farhanah selalu mencubit Zeti setiap kali Zeti cuba memegang kereta tersebut.

“Ini kakak punya, nenek Muar yang kasi. Zeti tak tak boleh main.”

Zeti terus meluru ke jalan sempit mengikut laju kereta mainan berlari. Dalam sekelip mata, sebuah motosikal laju membelahnya tiba-tiba. Darah memancut. Shahrani menjerit dan berlari ke arah anaknya. Nadi Zeti mula lemah, penunggang motosikal lari entah ke mana.

Zaid meraung sambil meluru ke arah ayahnya yang sedang memangku Zeti. Farhanah menyesal tak benarkan Zeti bermain tadi. Dan aku tak tahu Shahrani menyesal kerana apa?

Setelah bertahun-tahun aku tabah seorang diri. Kini ketabahanku sampai ke penghujungnya. Cuma Shahrani yang agaknya, baru diuji. Membawa berita gembira sehingga lupa mengunci pintu pagar.

Aku memeluk Zaid dan Farhanah. Shahrani memeluk erat Zeti dan mengendong Zeti yang telah berlumuran darah. Matanya berair, mataku banjir. Merah darah Zeti mewarnakan kemeja putih bakal seorang pensyarah – hatiku terus membengkak pada ‘penggubal undang-undang pintu’. Zeti kaku buat selamanya dalam pelukan ayahnya.
TAMAT

Cerpen ini ditulis sekitar November 1992 dan memenangi tempat kedua dalam sayembara menulis sempena hari guru peringkat negeri Sarawak 1993 di Kuching. Cerpen ini kemudiannya diantologikan dalam CIKGU VI. Idea untuk menulis bermula apabila menonton sebuah dokumentri dalam TV1 tentang anak-anak istimewa (tetapi bukannya, sindrom Down).

Wednesday, March 16, 2011

ummi, saya jelous la ummi...,

Assalamualaikum.
Bismillahirrahmaanirrahiim. =D

Teringat kembali nostalgia zaman sekolah rendah dulu.
zaman hingusan dan zaman muda-mudi dulu * walaupun sekarang saya masih muda.

Antara banyak-banyak subjek,
subjek BAHASA MELAYU PENULISAN yang paling saya suka dan sangat saya suka.
Serius!

waktu tu, ramai sangat kawan-kawan saya tak suka dengan subjek tu. Kata mereka, BM 2 susah sebab kena buat karangan.

Mungkin sejak kecil, hobi saya suka berangan dan saya sering ' melahirkan ' angan-angan di atas sekeping kertas yang bisu,tuli dan buta membuatkan saya sering menjadi top scorer untuk subjek tu.

^_^,
 masa zaman sekolah rendah dulu, selalu kena puji  dengan cikgu Bahasa Melayu sebab setiap kali periksa, mesti markah Bahasa Melayu Penulisan saya yang paling tinggi dalam kelas. markah tinggi macam markah saya. *rasa macam syok sendiri je

*Ecehhh, ini cerita betul tau, bukan cerita dongeng.

Waktu bahasa melayu je selalu kena puji. Subjek lain dah tak boleh dah.
Bila lagi kan nak rasa kena puji dengan cikgu.? 

Setiap kali periksa, kalau bahagian B (karangan) mesti saya pilih karangan jenis cerita.
Dan, di situlah tempat untuk saya 'menzahirkan' angan-angan yang terpendam di benak fikiran saya.

Pada suatu hari,
semasa kelas bahasa melayu, 
cikgu bahasa melayu saya cakap,
" Mutmainnah, awak ada bakat untuk menjadi seorang PENULIS"

sejak hari itu, saya ter'inspirasi' dengan kata-kata itu, ketika itu saya masih darjah 5.
Saya mula berusaha ingin membuktikan kepada guru saya, kata-kata itu bukan omongan kosong,. Ya, saya mampu menjadi seorang penulis suatu hari.

Saya pun mula menulis cerpen-cerpen di dalam sebuah buku nota yang sampai sekarang saya masih simpan elok-elok.

Malangnya, disebabkan perasaan tidak yakin pada diri sendiri dan malu yang menebal dalam diri,
saya hanya menjadikan koleksi cerpen saya sebagai koleksi peribadi saya. Saya tidak pernah menunjukkan cerpen tersebut kepada guru bahasa melayu saya.

Pernah suatu ketika, saya memberanikan diri saya dengan menyerahkan cerpen saya kepada kawan saya untuk dibaca. Alhamdulillah, saya mendapat komen yang baik daripada kawan saya. * mudah ter'inspirasi' bila dipuji/ dikomen dengan sesuatu yang positif.. =D

Dan, semangat saya untuk menulis semakin membara.  Untuk memantapkan lagi penguasaan saya dalam bahasa melayu, saya mula menjinakkan diri dengan membaca novel sehinggakan sampai sekarang saya menjadi kaki novel. ^_^

Apabila saya mula menjejakkan kaki saya ke alam sekolah menengah,
minat saya untuk menulis semakin lama semakin pudar. Ya, saya sudah tidak berminat lagi untuk mengarang cerita. Saya sudah tidak berminat lagi untuk menzahirkan angan-angan saya di atas sekeping kertas.

Saya pun tidak tahu mengapa.
Saya lebih suka menceritakan angan-angan saya kepada orang lain.
Saya lebih suka menceritakan 'cerita dongeng' yang saya nukilkan di benak fikiran saya kepada orang lain.
Saya lebih suka menulis di dalam BLOG saya yang tak berfollowers ni, * followers sikit.. T_T *
Saya lebih senang menjadi seorang STORYTELLER.
dan, saya lebih senang menggunakan tagline hlovate, I'm not a writer, I'm a mere 
storyteller.

ya, seorang storyteller. Menjadi seorang storyteller membuatkan saya lebih banyak bercakap daripada dulu.
Kalau masa zaman saya muda-mudi dulu, mungkin saya lebih suka diam daripada bercakap.

Dan, kalau orang tak kenal saya mungkin akan judge saya sebagai seorang yang PENDIAM dan PEMALU.

Walau bagaimanapun, ada kalanya, menjadi storyteller ini sungguh memenatkan.
Yelah, bila ada waktu senggang je, mesti jiran sebelah meja saya , Aulia,  mesti cakap.,
" Inah.., ana bosan lah., anti cerita sikit. Ceritalah apa-apa pun.."

Dan, apabila menjadi seorang pelajar sekolah menengah,
saya TERUS LUPAKAN impian saya untuk menjadi seorang penulis..,

walau pun, abah saya pernah cabar,

" Inah, sebelum awak masuk umur 19 tahun, pastikan yang awak sudah ada buku yang  awak tulis"
Mungkin sebab abah tengok anak dara abah sorang ni dok asyik kelek dan baca buku yang orang lain tulis je.

Walau bagaimanapun,
semangat saya mula datang bila ummi saya membeli majalah anis keluaran februari 2011.
Bila saya buka m/s 66,

ada kisah seorang remaja yang berumur 15 tahun * sebaya dengan saya tuuuuu...
sudah berjaya menulis sebuah novel. Novelnya dipasarkan pada tahun lepas. (2010).
Maksudnya, ketika tingkatan 2, dia sudah berjaya menulis sebuah novel..
impressive!
nurina izzati, si penulis cilik.

Novel yang dia tulis pula bukanlah novel yang tidak berfaedah atau pun hanya membuat orang rasa suka-suki je bila baca..
Novel yang dia tulis merupakan NOVEL TARBIYYAH REMAJA.
Alhamdulillah, pandainya dia menggunakan kelebihan yang dia ada untuk menyampaikan dakwah kepada orang lain.

 ummi, saya jelousla ummi..!!
saya pun ingin menjadi macam dia.
memberi manfaat kepada orang lain melalui penulisan.

teringat pula 10 muasafat tarbiyah,
BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN.

tiba-tiba saya ingin bertanya diri saya, 
" Mutmainnah, sepanjang hidup awak, apa manfaat yang pernah awak bagi kepada orang lain?"

teringat kata-kata Mustafa Mahsyur,
“ Sesungguhnya seorang muslim itu, Apabila berjalan di jalan Dakwah. Ia tidak berjalan dengan hatinya sahaja, Bahkan, dibawa bersama hati saudaranya. Justeru itu, setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya, pasti akan terbias untuk saudara seperjuangannya.”

oke, ini serba sedikit tentang penulis cilik yang saya jelous itu = D
* jelous ke arah kebaikan, tak salahkan? :)

Sinopsis Single Unavailable

Cerita ini mengisarkan tentang Taqiah yang merupakan seorang ketua pelajar di sekolahnya. Melalui insiden di sebuah pusat beli-belah dia bertemu dengan Latif Marwan Rusydi. Pertemuan itu berbaur sedikit pertengkaran kecil kerana telefon bimbit kedua-duanya tertukar. Saling tidak menyukai antara satu sama lain, lagi-lagi mereka bertemu di sekolah, kedua-duanya lambat laun mulai menjalinkan persahabatan, terutama setelah Marwan menolong Taqiah yang diganggu samseng jalanan.
Sifat Marwan yang hanya tahu bersenang-lenang jauh sekali berbeza dengan Taqiah yang gigih dan baik. Setelah putus harapan dengan adik Taqiah, iaitu Mutharah, Marwan menyedari sebenarnya dia sangat menyukai Taqiah, tetapi dia menyembunyikannya. Dia disaingi oleh Bobby dan yang paling berat adalah Rifqi, iaitu abangnya sendiri yang pintar.
Meskipun Marwan hidup dalam kemewahan, dia suka membantu orang yang berada di dalam kesusahan. Perasaan cemburu dan iri hati akan keakraban Taqiah dan Marwan membuatkan mereka sering dilanda konflik. Setelah kematian Mutharah akibat penyakit, muncul seorang gadis yang mirip sekali dengan Mutharah. Taqiah cuba memenangi hati gadis yang keras itu walaupun dilanda pelbagai cabaran. Marwan pula cuba memenangi hati Taqiah yang akhirnya sedar bahawa hati Taqiah tidak mungkin terbuka untuk berpasangan kerana menuruti syariat Islam.
Dalam novel ini saya cuba mengupas sedikit persoalan tentang "couple" dan membawa penghayatan anda ke alam remaja yang penuh konflik.

Nurina Izzati, you inspire me.
A lot. Big Time.
enough said. =D

Aulia, sekarang saya sudah meletakkan jawatan sebagai storyteller.
Saya ingin kembali menulis. =D * dan menjadi orang yang lebih diam dari sekarang.

walaupun bunyi macam mustahil, saya tak kisah. Saya tak nak terus berangan-angan. Saya inginkan angan-angan itu menjadi realiti.

kata kawan saya;

keinginan tanpa usaha adalah angan-angan.
keinginan beserta usaha adalah impian.

oke, saya sudah tidak mahu lagi berangan, saya ingin berimpian.!

doakan saya agar dapat menjadi seorang penulis yang berjiwa DAIE.
yang menjadikan penulisan itu sebagai platform untuk ' amar maaruf nahi munkar.'

Tuesday, March 15, 2011

Boys Are Stupid!

" Boys are stupid. Some men too. So, throw rocks at them. Pans too!! "
-hlovate, 5t5b-

WARNING!
 mungkin tajuk entri ini macam nak menimbulkan diskriminasi.
tapi, bila you all start baca entri ini je., SILA BACA SEHINGGA HABIS agar tidak mengundang sebarang prejudis dan salah faham .sekian.

;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;;

One Day,

seorang kawan saya datang jumpa saya.
Dan dia cakap.

" Inah, memang semua lelaki eh jenis macam tu?

"Jenis macam mana?"

"Tak boleh dipercayai. Boys are stupidddd...! "

"Kenapa tiba-tiba awak kata macam tu?"

" Sebab saya tak pernah jumpa lelaki yang setia.."

" Eh, tak semua lah lelaki macam tu. Tak adil lah kalau awak cakap macam tu.."

yelah, mana adil dia nak kata macam tu.
saya ada ayah, saya ada abang, saya ada adik lelaki , saya ada datuk, saya pak cik saudara.
dan mereka semua lelaki. mestilah saya nak mempertahankan mereka.

" Inah, kenapa semua lelaki suka melukakan hati perempuan.??
Saya benci lelaki... Semua lelaki sama je!!!"

oke. saya sudah dapat menghidu arah percakapan dia.
Ini mesti kes putus cinta. adeeehhh, i don't like this part.
Lecehlaa. Itulah, dah tahu terang-tang-tang, couple itu haram, sibuk juga nak bercouple sakan.
Time putus cinta, mula lah nak menangis bagai nak rak.
sibuk couple dengan orang lain masa kecil, bila besar nanti, kahwin dengan orang lain juga.
waste the time.
FULL STOP.

" Kenapa, awak putus cinta ke? "
Tanya saya serkap jarang.

" saya dah clash"

"kenapa?"

"Saya yang minta. Saya tak tahan lagi dengan dia."

"then, apa dia cakap?"

" IKUT SUKA HATI KAU LAH PEREMPUAN !!"

ouch, sakitnya.
kasihannya dia.

" sejak bila awak start couple?"
yelah, sudah-sudah jumpa dengan saya, mengadu sudah clash.
Dia mana berani nak cerita dekat saya dia sibuk bercouple. Memang lah nanti sah-sah dia dapat tazkirah percuma. free of  charge. Tak perlu dibayar.

" Tahun lepas.."
jawabnya dengan sayu.

zaman sekarang, trend couple memang dah jadi budaya masyarakat kita, hatta orang Islam sekalipun.
kalau tak couple tu macam pelik je .

Macam tak up-to-date.
Macam kolot.
Macam jumud.
Macam skema.
Macam menolak fitrah dalam diri.

Itulah persepsi orang sekarang.

Sampaikan ada yang sanggup BUNUH DIRI sebab putus cinta.
sadiskan?

kadang-kadang, bila putus cinta,
mula lah keluar statement,
" SEMUA LELAKI SAMA JE. BUAYA!!"

atau pun,

"SEMUA PEREMPUAN SAMA JE. SUKA MEMPERMAINKAN HATI ORANG"

saya sangat tidak suka statement di atas.
sangat tidak adil.
mengapa semua?
kerana nila setitik, rosak susu 1 juta belanga!

mana boleh judge macam tu.
Lain lah, kalau dia dah couple dengan semua perempuan dekat muka bumi ni, pastu, semua perempuan yang couple dengan dia tu mempermainkan hati dia...

kalau macam tu saya tak kisah la dia nak menengakkan statement macam tu.

***************************

sejak hari itu,
kawan saya yang putus cinta itu menjadi seorang yang sangat bencikan lelaki.
dan dia pernah cakap pada saya..,

" Inah, saya dah serik dah. Saya dah tak nak couple lagi lepas ni.
Cukuplah saya rasa macam nak gila sebab lelaki..
Saya rasa berdosa sangat. Saya tahu couple tu haram tapi, entahlah saya tak tahu kenapa saya ikutkan kata hati saya....Saya rasa saya ni hanya menipu diri sendiri saya sahaja.
saya dah insaf dah..."

kadang-kadang rasa macam lawak je.
baru sekolah menengah dah terlibat dengan benda-benda yang serabut macam ni.
dengan umur macam ni sepatutnya fikir pasal belajar je, tapi serabut fikir pasal cinta yang tak berkesampaian.
leceh kan?

saya juga pernah teringat ada seseorang pernah berkata;
" Bila agaknya saya nak jumpa orang yang setia... "

*rasa nak tibai je.*
belajar elok-elok dululahhh...!!

abang saya pernah cakap;

" Kalau kita nak cari orang yang setia dengan kita, make sure, kita setia dengan Allah dulu, kalau dengan Allah pun kita tak boleh setia ( melanggar perintah Allah), mana mungkin kita akan jumpa dengan orang yang akan setia dengan kita..."

sometimes,
pernah tak kita terfikir,
mudahnya kita nak mencintai manusia separuh mati,
tetapi,  mudah jugakah kita dalam mencintai ALLAH melebihi diri sendiri...?

Kalau kita belum mampu mencintai Allah melebihi kita mencintai diri sendiri,
mengapa, dengan mudahnya kita mampu mencintai orang lain ?

kadang-kadang,
kita kena muhasabah juga.
tanya hati kita.
apa masalah hati kita.

******************

sampai sekarang, saya belum mampu mengikis perasaan benci terhadap lelaki dalam diri kawan saya itu.
hati dia betul-betul tertutup rapat.
Dia menjadi seorang 'anti lelaki'

mungkin putus cinta sebanyak 2 kali membuatkan dia menjadi seorang yang begitu membenci lelaki dan memegang prinsip
' boys are stupid. some men too. throw rocks at them. pans too..'

dan, saya tak tahu dah nak komen macam mana..

Pernah sekali saya bertanya;

" Kalau awak benci semua lelaki dan awak cakap semua lelaki STUPID,
ayah awak dan abang awak pun tergolong ke? "

dan, dia terus diam membisu.
saya tak tahu lah sama ada dia berfikir atau  membenarkan kata-kata saya.

kalau orang tanya, apa definisi lelaki yang menyakitkan hati.
saya jawab,
" lelaki yang suka buat bising dalam kelas waktu pembelajaran dan mengganggu orang lain yang nak belajar"

******************************
*******

itu sebuah cerita picisan.
cerita yang saya harap orang lain ambil iktibar.
jangan tanya itu kisah siapa.
Itu kisah 'dia' yang sedang membina kekuatan yang baru.
Cinta ini memang aneh kerana boleh membuatkan orang lain menjadi lemah.
'dia' bukanlah classmate saya mahupun batchmate
'dia' bukan juga schoolmate saya.

'dia' hanya seorang gadis yang sering dirundung pilu kerana tewas dalam mainan cinta.
'dia' juga hanyalah seorang gadis yang melafazkan janji akan berhijrah untukNya,
change for the sake of ALLAH.

berpada-padalah dalam mencintai orang lain.
orang yang kita cinta boleh menjadi orang yang paling kita BENCI.
orang paling kita BENCI boleh menjadi orang paling kita CINTA.

Silence can be loud! Nothing Impossible.

untuk 'dia' yang selalu dirundung pilu,
semoga kamu terus kuat.
untuk kamu yang membaca kalam,
ambillah iktibar atas apa yang saya kisahkan.
untuk 'kamu' yang pernah putus cinta,
jangan lemah kerana mainan cinta.!
untuk aku yang mencoret ilham,
semoga terus istiqamah di jalanNya, ameen.

Cinta ALLAH itu  sentiasa ada untuk hambaNya yang sentiasa mendambakannya.
Nikmat ALLAH itu sentiasa terbuka untuk hambaNya yang sering mencarinya.
Keampunan ALLAH itu tetap ada walau sebesar mana dosa hambaNya.

Carilah Cinta Allah.
Cinta Allah tidak pernah mengecewakan..

akhirulkalam,
maaf andai post ini mengguris hati sesiapa.

Mutmainnah Mazlan

Monday, March 14, 2011

Rakyat Malaysia Paling Tinggi Bazir Air Di Asia Tenggara

Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna yang paling banyak membazir air berbanding pengguna negara lain di Asia Tenggara, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui. Menurut Kajian Penggunaan Air Domestik, katanya, penduduk Malaysia menggunakan purata 226 liter air setiap hari berbanding rakyat Singapura 155 liter dan Thailand sebanyak 90 liter setiap hari.

Katanya kadar penggunaan air yang disyorkan untuk setiap penduduk di negara ini ialah 165 liter setiap hari dan penggunaan air semasa oleh setiap individu mencerminkan tabiat pembaziran oleh masyarakat. "Sekiranya penduduk Malaysia mematuhi kadar penggunaan air yang disyorkan itu, maka pengguna boleh menjimat sehingga 28.2 meter padu setiap isi rumah yang membawa kepada penjimatan RM18.33 sebulan," katanya ketika merasmikan Karnival Komuniti Hijau 2011 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.
Chin berkata mengikut kajian itu, 70 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak mungkin mengurangkan jumlah penggunaan air di rumah masing-masing pada tiga tahun akan datang. "Kita tidak sedar tindakan kecil seperti membiarkan air paip terus mengalir ketika memberus gigi dan mengabaikan kebocoran paip boleh mengakibatkan jumlah besar pembaziran air yang dirawat," katanya.
Karnival sehari dengan tema '1Hijau 1Komuniti' yang dianjurkan oleh kementerian dan Greentech Malaysia antara lain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup kehijauan serta menonjolkan inisiatif kehijauan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Seramai hampir 4,000 pengunjung menghadiri karnival itu yang menampilkan pelbagai aktiviti termasuk permainan untuk kanak-kanak, konsert mini, bengkel pendidikan dan menukar barangan kitar semula dengan hadiah.
- Kuala Lumpur, 13 Mac 2011

Saturday, March 12, 2011

Jangan nafikan hak orang lain. !

Situasi 1

Seorang guru atau pensyarah sedang mengajar di hadapan dengan penuh keikhlasan. Beberapa orang pelajar di bahagian hadapan sedang memberi tumpuan di dalam kelas.
Malangnya segelintir pelajar di bahagian belakang kelas sedang sibuk bersembang dengan rancaknya, malah sehingga mengganggu pengajaran guru di hadapan sekaligus mengganggu pelajar-pelajar yang sedang memberi tumpuan.
Situasi 2
Seorang pengunjung A sedang makan tengahari di sebuah kedai makan di bandar ibu kota. Dengan perut yang tengah lapar, maka pengunjung A tadi terus memesan makanan yang disediakan di dalam menu. Selang beberapa minit, hidangan pun sampai, maka pengunjung tadi pun memulakan suapan pertamanya.
Kemudian datang seorang pengunjung B lagi menghampiri kedai dan duduk di meja belakang pengunjung A lalu memesan hanya minuman. Sementara menunggu minumannya sampai, pengunjung B tadi mengeluarkan sekotak rokok dari poketnya lalu mengeluarkan sebatang rokok, lalu dihidupkan pemetik api untuk menyalakan rokoknya. Pengunjung A yang sedang menikmati juadahnya terus hilang selera disebabkan asap rokok tadi.
Bagaimana perasaan sahabat-sahabat jika perkara ini berlaku pada diri kita sendiri?
Dua situasi di atas mungkin pernah berlaku pada diri kita, mungkin di dalam kelas dan mungkin juga di kafe-kafe atau gerai makan. Mungkin perasaan geram, marah dan sebagainya akan timbul dalam diri kita dan mungkin juga sumpah seranah dan makian yang terkubur dalam hati yang tak mampu untuk diluahkan secara kasarnya.
Pernahkah orang yang melakukan perkara-perkara itu mengendahkan kehadiran kita?
Dunia ini bagaikan mereka yang punya, suka hati merekalah nak lakukan apa saja yang mereka suka, mereka nak bising ke, nak hisap rokok berpuluh-puluh batang ke, terpulang pada diri mereka. Mungkin itulah jawapan yang paling tepat yang boleh dikatakan bagi pihak mereka.
Jika dilihat dari perspektif kita mungkin mereka ini boleh digolongkan dalam golongan yang sebenarnya menafikan hak orang lain. Apabila menyebut menafikan hak orang lain, maka istilah yang boleh saya katakan tepat untuk mereka ialah zalim.
Kenapa Zalim?
Apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya maka itu dikira zalim. Seorang yang membuat bising di dalam kelas ketika mana guru sedang mengajar dan pelajar lain sedang menumpukan pada pengajaran guru dikira zalim kerana dia telah menganggu hak guru yang sedang mengajar dan pelajar lain yang sedang belajar.
Manakala seorang perokok dikira zalim kerana dia telah menafikan hak orang lain untuk menghirup udara segar yang diciptakan oleh Allah kepada setiap makhluk di muka bumi ini.
Tidak tepatkah andaian ana ini?
Ketika mana kita sedang seronok dengan perbuatan kita, orang lain sedang sengsara dengan perbuatan yang kita lakukan. Adilkah begitu wahai sahabat-sahabat?
Saya tinggalkan persoalan terakhir ini untuk kita sama-sama muhasabah diri kita semula, mungkin banyak lagi perkara yang kita dah nafikan hak orang lain, cuma dua perkara ini yang hendak saya ketengahkan.
Cuba kita fikir-fikirkan semula, pernah tak kita nafikan hak orang lain. Wallahualam..
p/s:
saya berharap agar 'mereka' yang suka buat bising dalam kelas  dan suka merokok di tempat public akan baca post ini dan terasa dengan peringatan ini.

tinggal jejak

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails